
Tidak perlu disembunyikan nyanyian itu
sedang iramanya cukup indah diceritakan
pada angin semilir
tentang sejarah yang pernah hadir
tentang seorang Razak yang pernah lahir
Tun,
merdu nyanyianmu adalah lagu hati
yang kau bawa sendiri-sendiri
dalam lewat musim lalu
seluruh warga mendengarnya
seluruh alam melihatnya
seri bulan yang kau bawa ada sinarnya
“ Buku Merah ” yang singgah pada puncak cemara
sambil bayangnya indah berkaca
ditabur menjadi benih membangunkan negara
Tun,
kau pernah hidup dalam jenuh keringat tanpa jemu
merasai sejarah para tani yang susah
dan kepayahan yang pernah tersusun pada lumpur dan bendang
pada keperitan menebas hutan membuka ladang
kebun-kebun getah, kelapa sawit di segenap ruang
bagaimanakah dulunya mereka bernafas untuk mengerti
makna tanah dan sekeping rezeki
dalam naskhah hiba tetapi berani
kaulah semangat dan nadi bumi hijau
dan hari ini petani tersenyum puas tanpa risau
Tun,
terima kasih kerana pernah menjadi Perdana Menteri
yang cukup faham pada terbitnya fajar Malaysia
pada awal merahnya , pada mula kilaunya
memimpin sebuah negara bukan sandiwara cuba-cuba
patriotisme bukan sketsa reka-reka
kau terlalu akrab di akar dan dahannya
ada sayang yang cukup mendalam pernah kauselam
ada kasih yang cukup rimbun pernah kauhimpun
meranum , menguntum dan bercantum
Malaysia menjulang mekar dan harum
Tun,
telah lama kau tinggalkan pentas prestij dan prima.
dalam episod penuh budi dan besar jasamu tidak terkira
nyanyi ini tiada hentinya
melodinya bersambung di pentas yang sama
ada sejujur baka dari murni zuriatmu membina nama
tumpahnya membuka agenda
menjayakan kepercayaan seluruh warga
satu Malaysia !
AINA NABILA AHMAD
Pemenang Saguhati Kategori IPTA/IPTS
Sayembara Menulis Pusi Kenegaraan Tun Abdul Razak
Anjuran ASWARA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.