Monday, May 24, 2010

::Catatan rasa dari Memoir seorang Nabila::

Orang yang betul-betul mengajar aku bukanlah kawan dihadapan. Tetapi musuh dibelakang. Ha, itulah yang aku dapat dalam mengenal arah layar sepanjang aku kemudi sendiri-sendiri, lewat usia 19 nak memasuki 20-an ini. Semoga saja arah aku sentiasa terarah berbekalkan petunjuk dari-Nya dan orang-orang yang menyayangi aku setulus hati mereka. Dan kepada kamu-kamu yang mahu memusuhi aku secara sengaja ataupun tidak sengaja, silakan. Suruh dak....larang pun dakk... (loghat dan gaya tok wan aku kat kampung, nak over sikit, tambah pelat siam pattani).

Aku tak pernah diajar atau mengajar diri aku untuk bermusuhan sesama sendiri. Itu sama sekali bukan matlamat hidup aku nak buat perkara sia-sia tak tentu hala. Tapi, aneh sungguh ya, orang yang tak punya apa-apa macam aku, buruk dimata manusia, lagi hina di sisi Tuhan ini, masih ada yang mahu memusuhi. Aku akui, aku jarang bercakap banyak tetapi sesekali aku agak lantang bersuara, dan barangkali ada yang tidak menyenanginya. Tetapi, jauh di sudut kamar hatiku (tajuk lagu weiii), itu sekadar cakap-cakap yang datang dari hati. Ada pepatah inggeris berkata, " telling the truth n making someone cry is better than telling a lie n making someone smile....", jadi aku memilih untuk bercakap jujur, agak naif bunyinya. Tapi, kejujuran itu sangat menyakitkan kadang-kadang, jadi kali ini aku ubah dengan unsur satira atau subteks atau konotatif atau apa saja yang bersifat implisit, benar sekali aku suka melawak, aku suka menggembirakan orang-orang disekeliling aku, tetapi kepada orang-orang yang tertentu (tidak bertujuan untuk bermusuhan sekadar beringat-ingat) sifat-sifat implisit ini barangkali akan wujud. Tapi masih dalam konsep "menggembirakan". Aku juga seorang yang suka menerima teguran. Teguran, bukan sindiran tak kena gaya. Teguran itulah membentuk aku.

Kalau bercakap soal teguran ni, atau proses bentuk membentuk sampai acaun aku menjadi aku yang sekarang, bukan lagi perkataan teguran. Teguran tak menjadi apa-apa bagi seorang budak ketegaq piaq macam aku masa kecil. Tali pinggang, hanger plastik@besi, paip getah, taboh menaboh, cakap saja apa jenis stail dan gaya mak bapak aku tak pernah buh kat aku. (kecuali tendang-menendang), oh..mereka bukan pendera, tetapi MAK & AYAH a.k.a pendidik terhebat zaman 90-an, ah semuanya aku dah rasa. Kalau dulu kami agak dingin(kadang-kadang dok beletiaq, awatlah mak ayah tak memahami, dok pukui ikut dan), tapi sekarang merekalah sahabat karib yang paling akrab , paling memahami! Aku bangga mempunyai seorang mak yang suka berletiaq, dan ayah yang cukup sensitif sifatnya. ; )

Musim Penuh Makna, Penuh Rasa.

Usai sudah semester keempat, yakni musim penuh makna, penuh rasa bagi aku yang masih bergelar pelajar. Musim ini benar-benar memberi kesan emosi yang mendalam. Agak berat melalui hari-hari yang semakin payah dalam meniti ilmu yang semakin luas mengisi akal dan minda yang tak mampu menelan semuanya. Praktikal dan teori serupa saja beratnya. Aku tidak sama sekali mahu menganggap ianya membebani aku,kerana walau apapun itu adalah tanggungjawab aku. Aku memikulnya bukan sekadar tangungjawab, tetapi membawa harapan mak dan ayah aku terbang bersama ke sini (ASWARA). Apa saja yang aku buat, kiri kanan bahuku, aku sentiasa anggap mak dan ayah ada bersama ku. Banyak juga yang aku pelajari samester ini, mengenal manusia, mengenal segalanya! Bukan saja sem ini, bahkan, setiap sem yang aku laui, ada saja yang aku pelajari.

Masih ada kurangnya, aku kurang membaca sem ini. Angin malas seperti saja nak menganggu keadaan serba selesa. Maksud aku disini, aku seolah berada di zon yang selesa. Keputusan sem lepas seakan membuat aku terawang-awang. Aku lalai. Lalai lagi. Aku mula tersedar bila aku punya masalah bila menjawab teori yang selama ini menjadi 'makanan'ku dalam memungut markah. Ya, Tuhan. Kenapa aku selalu meletakkan diri aku di dalam zon seperti ini. Lupakah aku pada janji-janji aku dulu. Lupakah aku pada impian lalu. Aku tak mahu jatuh. Tak mahu jatuh. Aku mahu mengekalkan apa yang aku ada sekarang, cuma aku tahu, aku masih lagi berusaha, cuma sedikit lalai. Tak ada apa yang aku harap, melainkan mengekalkan status HPNG yang sedia ada. Pointer 3.51 tu boleh turun bila-bila saja, aku saja yang tak bersedia menghadapi dan berusaha mengelak kemungkinan itu!

Cuti ini insyaallah aku akan cuba membaca dan terus membaca. berkarya dan terus berkarya. Aku dah pun mula menghantar cerpen ke majalah-majalah sejak menang puisi tempoh hari. Kemenangan yang sekecil cuma, memberi seribu satu perangsang untuk terus berkarya. Insyaallah, karya cerpen yang baru ditulis untuk tugasan cereka moden akan disiarkan di majalah Karangkraf Julai ini. Cerpen yang bertajuk Pusaka Paling Perkasa. Terima kasih buat saudari Usna, rakan facebook yang bekerja di syarikat karangkraf yang membuka peluang untuk penulis muda seperti aku terus mengasah bakat menulis cerita-cerita pendek. Aku masih di peringkat awal dalam penulisan cerpen. Tetapi bila sudah menghasilkan dua cerpen, terasa seronok pula. Cuma masalahnya, bahasa aku dalam penulisan cerpen agak kurang baik berbanding puisi. Tapi bak kata Encik Wan, tak perlu tulis hebat-hebat, sederhana pun sudah memadai. Sederhana yang luarbiasa pastinya!

Wednesday, May 5, 2010

TUN ABDUL RAZAK : NYANYI INI TIADA HENTINYA



Tidak perlu disembunyikan nyanyian itu
sedang iramanya cukup indah diceritakan
pada angin semilir
tentang sejarah yang pernah hadir
tentang seorang Razak yang pernah lahir

Tun,
merdu nyanyianmu adalah lagu hati
yang kau bawa sendiri-sendiri
dalam lewat musim lalu
seluruh warga mendengarnya
seluruh alam melihatnya

seri bulan yang kau bawa ada sinarnya
“ Buku Merah ” yang singgah pada puncak cemara
sambil bayangnya indah berkaca
ditabur menjadi benih membangunkan negara

Tun,
kau pernah hidup dalam jenuh keringat tanpa jemu
merasai sejarah para tani yang susah
dan kepayahan yang pernah tersusun pada lumpur dan bendang
pada keperitan menebas hutan membuka ladang
kebun-kebun getah, kelapa sawit di segenap ruang
bagaimanakah dulunya mereka bernafas untuk mengerti
makna tanah dan sekeping rezeki
dalam naskhah hiba tetapi berani
kaulah semangat dan nadi bumi hijau
dan hari ini petani tersenyum puas tanpa risau

Tun,
terima kasih kerana pernah menjadi Perdana Menteri
yang cukup faham pada terbitnya fajar Malaysia
pada awal merahnya , pada mula kilaunya
memimpin sebuah negara bukan sandiwara cuba-cuba
patriotisme bukan sketsa reka-reka
kau terlalu akrab di akar dan dahannya
ada sayang yang cukup mendalam pernah kauselam
ada kasih yang cukup rimbun pernah kauhimpun
meranum , menguntum dan bercantum
Malaysia menjulang mekar dan harum

Tun,
telah lama kau tinggalkan pentas prestij dan prima.
dalam episod penuh budi dan besar jasamu tidak terkira
nyanyi ini tiada hentinya
melodinya bersambung di pentas yang sama
ada sejujur baka dari murni zuriatmu membina nama
tumpahnya membuka agenda
menjayakan kepercayaan seluruh warga
satu Malaysia !





AINA NABILA AHMAD
Pemenang Saguhati Kategori IPTA/IPTS
Sayembara Menulis Pusi Kenegaraan Tun Abdul Razak
Anjuran ASWARA

Bangsawan Syakuntala : Hadiah dari jiwa Pelajar Diploma Tahun 2 sesi 2009/2010





Usai sudah pementasan Bangsawan Syakuntala yang berlangsung di panggung E.T ASWARA pada 30 April sehingga 2 Mei 2010 dengan jayanya. Syukur Alhamdulillah. Walaupun ada banyak kurangnya, lakonan mantap para pelakon, extra turn dan musician berjaya menutupi kekurangan yang ada. Apapun, sebenarnya, aku akui disini, stroty line yang agak hebat banyak membantu struktur persembahan ini, disamping mendapat bimbingan Seniman Negara Rahman B, serta tunjuk ajar Abag Ijat (Shahrul Mizad). Sudut teknikal yang baik juga tutur menjayakan pementasan ini, terima kasih juga buat abang Tomoe, yang aku baru tahu dia juga salah seorang bekas anak murid ayahanda. Aku suka dengan apa saja bentuk teater. Aku membesar dengan teater, celik-celik lagi aku dah menonton teater kerana aku lahir dari keluarga yang berteater. Jadi aku sudah melibatkan diri dengan macam-macam produksi walaupun tidak secara lansung. Aku menjadikan penulisan bidang utama aku dan bukannya teater kerana aku punya alasan dan sebab-sebab tertentu walaupun jauh disudut hati aku, aku sangat mencintai teater dan dunia pementasan. Dapat majoring dalam penulisan pentas pun, sudah cukup baik untuk aku. Bangsawan bukanlah yang terutama, Aku lebih kepada teater moden. Tetapi, apabila terlibatdengan produksi ini, sedikit sebanyak mengajar aku tentang dunia bangsawan dan dunia produksi khususnya.

Aku antara ahli produksi yang memegang bahagian dokumentasi dan adaptasi skrip secara keseluruhannya. Pun begitu aku masih belum menerima apa-apa laporan lagi dari setiap bahagian. Aku tidak memaksa, kerana aku tahu kerja kalian lebih berat berbanding aku. Jadi aku bagi kalian sedikit masa. Semua pasti letih dengan show yang agak non-stop. Tetapi lemau itu berjaya diatasi dengan semangat-semangat yang kalian ada. Jadi sementara menunggu laporan, aku membantu beberapa bahagian, seperti logistik,F.O.H dan juga pemasaran. Semua antara kami melakukan lebih dari 2 kerja barangkali, kerana produksi kali ini hanya 112 orang,
antara produksi yang tersikit bilangan ahlinya. Dan sebelum itu,aku mahu juga disini merakamkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada Kak Fadilah selaku P.M yang banyak menegur dan memberi ransangan, Syiqqin yang banyak membantu dalam dokumentasi,Kelly yang put so much effort on bahagian pemasaran, Kak Ram,(Hanafi) yang sampai ke pagi menyiapkan F.O.H dan mana2 bahgaian lah yang pernah aku bekerjasama. Thank You so much!

Walau apapun, yang pasti, Team Bangsawan kali ini sangatlah KENTAL dan begitu senang bekerja dengan setiap dari mereka. Satu saja yang ingin aku nyatakan disini, andai ada tersalah silap sepanjang perjalanan produksi ini, aku ingin memohon maaf banyak-banyak. Sekian saja untuk ini. Terima Kasih, Salam Bangsawan!